Akademi Tarbiyah DPPM ,
|
03 Dis 2012
|
Antara sunnatullah (hukum Allah) itu adalah bahawa Allah Taala akan
memberikan cubaan kepada penerus risalah dan gerakan dakwah ini sebelum
menjadikannya berkuasa di muka bumi-Nya. Inilah sunnatullah yang tidak
akan berubah seperti yang telah dijanjikan Allah. Di Mesir, Nabi Yusuf
adalah salah seorang pengembang dakwah di negara itu. Dia pernah digoda
dan dirayu oleh seorang isteri penguasa pada zamannya dengan perhiasan
dan keindahan parasnya.
Peristiwa ini disebutkan di dalam firman Allah Taala, maksudnya:
"Dan
perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan
dia menutup pintu-pintu, lalu berkata; Hampirilah kepadaku. Lalu Yusuf
berkata; Aku berlindung kepada Allah, sungguh, tuanku telah
memperlakukan aku dengan baik. Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak
akan beruntung." (Surah Yusuf : ayat 23)
Sesungguhnya Allah
Taala telah menyelamatkan Baginda daripada perbuatan haram dan
penzinaan. Lazim diketahui bahawa, kala usia muda, naluri dan nafsu
seseorang itu sering melonjak-lonjak. Naluri ini merupakan makhluk buta
yang tidak dapat melihat, makhluk tuli yang tidak dapat mendengar,
makhluk bisu yang tidak dapat berbicara, naluri yang mendesak pemiliknya
agar menyalurkan hasil kemaksiatan dan dosa.
Hal yang sama juga
dirasakan Nabi Yusuf a.s., meskipun dia masih muda dan berada jauh
daripada pantauan orang-orang tuanya akibat dengki dan cemburu
saudara-saudaranya, dan meskipun tatkala itu Baginda hanya tinggal
berdua dengan isteri sang penguasa itu, akan tetapi Baginda Yusuf lebih
memilih untuk berpegang teguh kepada tali agama Allah sehingga Allah pun
menjaga kehormatan dan kemuliaannya.
Allah Taala berfirman tentang perkataan isteri penguasa tersebut:
"(Zulaikha)
berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya!
Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak
dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia
tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan,
dan akan menjadi daripada orang-orang yang hina." (Surah Yusuf : ayat
32)
Sikap dan peribadi Nabi Yusuf a.s. menjadi benteng
kepada Baginda untuk segera menjauh dan terhindar daripada kemaksiatan.
Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Taala di dalam
firman-Nya:
"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan
sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada
perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang
kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (pilihan kami terhadap Yusuf)
untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan
perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba
Kami yang dibersihkan daripada segala dosa." (Surah Yusuf : 24)
Nabi
Yusuf telah memilih ujian dengan hati yang lapang, sekalipun nafsunya
tidak dipenuhi namun jiwanya sentiasa meronta-ronta menagih redha Allah,
sehingga Baginda-pun rela mendekam di dalam penjara walau dalam keadaan
dizalimi sang penguasa. Hal ini kerana Nabi Yusuf menyedari
hampir-hampir sahaja dirinya jatuh ke dalam jurang kenistaan, bahkan di
dalam sebuah hadis disebutkan bahawa,
"Tidaklah sempurna keimanan seseorang yang sedang berbuat zina." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi)
Cubaan
yang dilalui oleh Nabi Yusuf sangat getir. Baginda dimasukkan ke dalam
penjara kerana perbuatan yang tidak dilakukannya sama sekali. Baginda
menerima semuanya dengan hati yang tenang dan menyerahkannya kepada
Allah Taala, kerana yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang terjadi di
dunia ini melainkan atas izin dan kehendak Allah Taala. Dalam hal ini
Allah Taala berfirman:
"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala
dengan) berkata; Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada
apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau
tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung
kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan
ilmunya".
"Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan
daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
"Kemudian timbul fikiran bagi
suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf
sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf
dibebaskan) hingga ke suatu masa." (Surah Yusuf : 33-35)
Nabi
Yusuf telah berhasil melalui berbagai cubaan yang berat, sehingga
Baginda menjadi salah seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di
negeri Mesir kala itu. Imam Syafi'e pernah ditanya,
"Manakah yang lebih dahulu antara diuji atau mempunyai kedudukan?".
Lalu beliau berkata,
"Tidak ada seorangpun (daripada pilihan Allah) yang mempunyai kedudukan sebelum diuji terlebih dahulu".
Menyebarkan Risalah Tauhid Di Penjara
Meskipun
dimasukkan ke dalam penjara kerana ditohmah dan difitnah oleh seorang
isteri sang penguasa, Nabi Yusuf tetap berdakwah dan menyampaikan
nasihat kepada orang lain yang berada di penjara bersamanya. Hal ini
tergambar dalam firman Allah Taala:
"Dan masuklah
bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang
daripadanya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata; Sesungguhnya aku
bermimpi melihat diriku memerah anggur. Dan berkata pula yang seorang
lagi; Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas
kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung. (Kemudian keduanya
berkata); Terangkanlah kepada kami akan takwilnya. Sesungguhnya kami
memandangmu dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)." (Surah
Yusuf : ayat 36)
Setelah beberapa lama kedua-dua banduan
itu berinteraksi bersama Nabi Yusuf, akhirnya mereka dapat mengenal
keperibadian dan budi pekertinya yang baik di samping ketakwaan dan
kesolehannya. Oleh itu, ketika dua pemuda tersebut bermimpi, maka mereka
pun berkata kepada Nabi Yusuf,
"Berikanlah kepada kami takwilnya. Sesungguhnya kami memandangmu termasuk orang yang berbuat baik (berakhlak mulia)".
Karakter
pendakwah sejati akan selalu terlihat bila-bilapun dan di manapun.
Akidah yang bersih, ibadah yang benar dan budi pekerti yang baik akan
sentiasa terpateri dalam diri setiap saat, bahkan ketika berada dalam
penjara dan mengalami kesulitan di dalam hidup. Nabi Yusuf membuktikan
kenabiannya kepada mereka dengan takwil mimpi. Dia dapat mengetahui
makanan apa pun yang akan diberikan sebelum sampai kepada mereka berdua.
Hal ini adalah pengetahuan tentang sesuatu yang ghaib. Tidak ada
seorangpun yang mengetahui hal-hal yang ghaib selain Allah dan
orang-orang diberitahu Allah di antara Para Nabi dan Rasul-Nya. Allah
Taala berfirman:
"Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya,
maka sesungguhnya Dia (Allah) mengadakan penjaga-penjaga (Malaikat) di
depan dan di belakangnya." (Surah al-Jinn : ayat 27)
Sifat
rendah hati Nabi Yusuf diperhatikan oleh teman-temannya di penjara
ketika menyandarkan ilmu yang diketahuinya kepada Pemiliknya yang
hakiki, yakni Allah Taala dengan mengatakan:
"(Aku bukan
sahaja dapat menerangkan takwil mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang
kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari
dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan
nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu
ialah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku
(Allah). Dengan sebab itu aku meninggalkan pegangan kaum yang tidak
beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat." (Surah
Yusuf : ayat 37)
Hal ini adalah salah satu kaedah Nabi Yusuf
dalam mengajak mereka untuk beriman kepada Allah dan mengesakanNya.
Dia-lah Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Maha Mengetahui
segala sesuatu yang ada di langit dan bumi. Salah satu bentuk
pengaplikasian tauhid di dalam kehidupan sehari-hari adalah prinsip
Baginda yang mengingkari perbuatan syirik dan penyembahan terhadap
berhala. Nabi Yusuf menyatakannya secara jelas kepada kaumnya dan
mengajak mereka untuk beriman kepada Allah Taala dengan menuturkan,
"Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak
beriman kepada Allah, bahkan mereka tidak percaya kepada hari akhirat".
Nabi
Yusuf mengikuti kaedah dakwah para pendahulunya daripada kalangan Nabi
dan Rasul yang telah diutus kepada kaumnya masing-masing. Baginda Yusuf
bukan orang yang melakukan perbuatan bida’ah dalam kenabian dan urusan
agama, namun dia adalah pengikut setia agama yang benar. Allah Taala
menerangkan perkataan Nabi Yusuf di dalam firman-Nya:
"Dan
aku menurut agama bapa dan datuk nenekku; Ibrahim dan Ishak serta
Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan
Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil daripada limpah kurnia
Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia
tidak bersyukur." (Surah Yusuf : ayat 38)
Nabi Yusuf a.s.
menyandarkan semua nikmat yang diterimanya kepada Allah semata-mata.
Setelah itu, Nabi Yusuf berdialog dengan teman-temannya di penjara
mengenai tuhan-tuhan yang selama ini mereka sembah.
"Wahai
sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang
tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah
Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?" (Surah Yusuf : ayat 39)
Allah
adalah Tuhan yang sebenarnya dan apa-apa sahaja yang diseru selain
Allah adalah batil. Sebab, tuhan-tuhan yang disembah kaumnya dibuat oleh
tangan-tangan mereka sendiri dan mereka pula yang memberikannya nama.
Sembahan yang mereka anggap sebagai tuhan itu tidak dapat mendatangkan
manfaat dan menolak bahaya untuk dirinya apalagi untuk orang lain.
Nabi Yusuf Berperanan Sebagai Menteri Perbendaharaan
Kisah
Nabi Yusuf yang berperanan sebagai menteri perbendaharaan dimulai
ketika dia menafsirkan mimpi raja. Pada saat menjalani hukum penjara,
Nabi Yusuf harus menafsirkan mimpi orang yang memerintah negara dan
memenjarakannya iaitu raja Mesir pada ketika itu. Namun, Nabi Yusuf
tetap menyebutkan tafsir mimpi yang benar dan memberi saranan yang baik
kepada raja tanpa mengharapkan imbuhan moral mahupun material. Allah
Taala berfirman:
"(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf,
berkatalah ia); Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)!
Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu
yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai
(biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering;
(tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku
itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya." (Surah Yusuf : ayat
46)
Pada saat itu tidak seorang pun yang mampu menakwilkan mimpi tersebut dan para sekratariat kerajaan mengatakan,
"Itu adalah mimpi-mimpi yang tidak memberikan apa-apa makna".
Salah seorang teman sepenjara Nabi Yusuf meminta kepada raja untuk
memberitahukan mimpi yang dialaminya itu kepada Yusuf kerana dia pernah
menakwilkan mimpi yang alaminya.
Setelah mendengarkan cerita
mimpi utusan raja, Yusuf menyusun strategi jitu dalam jangka 15 tahun
untuk menyelamatkan negara daripada bencana kelaparan. Seperti
ditafsirkan, bahawa akan datang musim kemarau yang berpanjangan,
sehingga diperlukan pentadbiran perbendaharaan sumber negara dalam
jangka masa yang panjang agar rakyat Mesir mempunyai makanan yang cukup.
Allah Taala berfirman:
"Yusuf menjawab; Hendaklah kamu
menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa-apa
yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit
daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan." (Surah Yusuf : ayat
47)
Rakyat Mesir diarahkan agar menyimpan makanan secukupnya
agar dapat membekalkan sedikit untuk masa krisis kemarau berpanjangan.
Allah Taala berfirman:
"Kemudian akan datang selepas tempoh
itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang
kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu
simpan (untuk dijadikan benih)." (Surah Yusuf : ayat 48)
Pada
masa kemarau, rakyat akan bergantung kepada makanan yang disimpan
sebelum ini. Jika ada orang yang tidak memiliki persediaan makanan yang
cukup maka apa yang harus mereka lakukan dalam situasi yang sulit
tersebut? Maka, tidak diragukan lagi bahawa mereka yang kesempitan harus
berhutang terhadap orang lain. Seperti yang dikatakan pepatah, "Hutang
membuat gelisah di malam hari dan membuat malu diri sendiri di hadapan
orang lain pada siang hari."
Setelah masa sempit datanglah masa
kejayaan, dan setelah kegelapan terbitlah fajar. Itulah tahun yang ke-15
seperti yang ditakwilkan oleh Nabi Yusuf. Pada masa itu hujan turun
membasahi bumi yang membuatnya hijau dan tanaman pun tumbuh di
mana-mana, sehingga banyaklah pohon yang berbuah dan dapat dipetik
manusia dengan mudah. Allah Taala berfirman:
"Setelah itu
akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada
masa itu mereka memeras (anggur)." (Surah Yusuf : ayat 49)
Demikianlah
yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf sehinggalah tiba waktu pengadilannya
Baginda dibebaskan daripada penjara setelah dibuktikan siapa sebenarnya
yang bersalah. Reputasi Baginda Yusuf melonjak cemerlang bukan sahaja di
mata manusia bahkan kepada setiap makhluk di alam ini. Kebenaran yang
ada pada Nabi Yusuf ibarat sinar mentari pada siang hari, cahaya bulan
di malam hari dan cahaya fajar pada waktu subuh. Isteri penguasa yang
memfitnah Nabi Yusuf mengakui kesalahannya. Wanita itu bersaksi bahawa
dialah yang melakukan konspirasi terhadap Yusuf.
Nabi Yusuf
keluar dari penjara dalam keadaan terhormat menuju istana raja dan
diangkat menjadi seorang menteri. Tiada keraguan bahawa seseorang itu
tidak disyariatkan untuk meminta-minta jawatan, namun apabila tidak
seorangpun yang absah dalam sesebuah jabatan maka dia harus berada di
garis hadapan memangkunya. Hal ini kerana, Yusuf adalah Nabi yang
menerima wahyu daripada Allah, tindakan bernas bukan daripada akal
semata-mata, tetapi juga daripada kebersihan jiwanya meyakini Allah itu
Tuhan sejati. Allah Taala berfirman:
"Dia (Yusuf) berkata;
Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir); karena sesungguhnya aku
adalah orang yang pandai menjaga, dan berpengetahuan." (Surah Yusuf :
ayat 51)
Kisah Nabi Yusuf a.s. berakhir dengan bahagia,
kerana Allah Taala menganugerahkan kedudukan kepadanya di negeri Mesir
sebagai orang menjaga amanah kerajaan. Seorang yang diiktiraf amanah
oleh Allah, kemudiannya menjaga amanah rakyatnya, dan hal ini tidak akan
terjadi di dunia kecuali di atas kehendak Allah Taala.
Inilah
petunjuk Allah kepada kita umat Islam tentang akhlak Nabi Yusuf yang
sewajibnya dimiliki oleh para pemuda. Hanya kepada Allah kita memohon
agar menjadikan kita termasuk antara orang-orang yang beramal dengan
ikhlas kerana mengharapkan redha-Nya.
http://www.tarbawi.my