12 December 2012



Nabi Yusuf dan kebangkitan Mesir

Akademi Tarbiyah DPPM , 03 Dis 2012
Antara sunnatullah (hukum Allah) itu adalah bahawa Allah Taala akan memberikan cubaan kepada penerus risalah dan gerakan dakwah ini sebelum menjadikannya berkuasa di muka bumi-Nya. Inilah sunnatullah yang tidak akan berubah seperti yang telah dijanjikan Allah. Di Mesir, Nabi Yusuf adalah salah seorang pengembang dakwah di negara itu. Dia pernah digoda dan dirayu oleh seorang isteri penguasa pada zamannya dengan perhiasan dan keindahan parasnya.

Peristiwa ini disebutkan di dalam firman Allah Taala, maksudnya:

"Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata; Hampirilah kepadaku. Lalu Yusuf berkata; Aku berlindung kepada Allah, sungguh, tuanku telah memperlakukan aku dengan baik. Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan beruntung." (Surah Yusuf : ayat 23)

Sesungguhnya Allah Taala telah menyelamatkan Baginda daripada perbuatan haram dan penzinaan. Lazim diketahui bahawa, kala usia muda, naluri dan nafsu seseorang itu sering melonjak-lonjak. Naluri ini merupakan makhluk buta yang tidak dapat melihat, makhluk tuli yang tidak dapat mendengar, makhluk bisu yang tidak dapat berbicara, naluri yang mendesak pemiliknya agar menyalurkan hasil kemaksiatan dan dosa.

Hal yang sama juga dirasakan Nabi Yusuf a.s., meskipun dia masih muda dan berada jauh daripada pantauan orang-orang tuanya akibat dengki dan cemburu saudara-saudaranya, dan meskipun tatkala itu Baginda hanya tinggal berdua dengan isteri sang penguasa itu, akan tetapi Baginda Yusuf lebih memilih untuk berpegang teguh kepada tali agama Allah sehingga Allah pun menjaga kehormatan dan kemuliaannya.

Allah Taala berfirman tentang perkataan isteri penguasa tersebut:

"(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi daripada orang-orang yang hina." (Surah Yusuf : ayat 32)


Sikap dan peribadi Nabi Yusuf a.s. menjadi benteng kepada Baginda untuk segera menjauh dan terhindar daripada kemaksiatan. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah Taala di dalam firman-Nya:

"Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (pilihan kami terhadap Yusuf) untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa." (Surah Yusuf : 24)


Nabi Yusuf telah memilih ujian dengan hati yang lapang, sekalipun nafsunya tidak dipenuhi namun jiwanya sentiasa meronta-ronta menagih redha Allah, sehingga Baginda-pun rela mendekam di dalam penjara walau dalam keadaan dizalimi sang penguasa. Hal ini kerana Nabi Yusuf menyedari hampir-hampir sahaja dirinya jatuh ke dalam jurang kenistaan, bahkan di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa, "Tidaklah sempurna keimanan seseorang yang sedang berbuat zina." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi)

Cubaan yang dilalui oleh Nabi Yusuf sangat getir. Baginda dimasukkan ke dalam penjara kerana perbuatan yang tidak dilakukannya sama sekali. Baginda menerima semuanya dengan hati yang tenang dan menyerahkannya kepada Allah Taala, kerana yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang terjadi di dunia ini melainkan atas izin dan kehendak Allah Taala. Dalam hal ini Allah Taala berfirman:

"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata; Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".

"Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

"Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dibebaskan) hingga ke suatu masa." (Surah Yusuf : 33-35)


Nabi Yusuf telah berhasil melalui berbagai cubaan yang berat, sehingga Baginda menjadi salah seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di negeri Mesir kala itu. Imam Syafi'e pernah ditanya, "Manakah yang lebih dahulu antara diuji atau mempunyai kedudukan?".

Lalu beliau berkata, "Tidak ada seorangpun (daripada pilihan Allah) yang mempunyai kedudukan sebelum diuji terlebih dahulu".

Menyebarkan Risalah Tauhid Di Penjara

Meskipun dimasukkan ke dalam penjara kerana ditohmah dan difitnah oleh seorang isteri sang penguasa, Nabi Yusuf tetap berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada orang lain yang berada di penjara bersamanya. Hal ini tergambar dalam firman Allah Taala:

"Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang daripadanya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata; Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur. Dan berkata pula yang seorang lagi; Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung. (Kemudian keduanya berkata); Terangkanlah kepada kami akan takwilnya. Sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)." (Surah Yusuf : ayat 36)


Setelah beberapa lama kedua-dua banduan itu berinteraksi bersama Nabi Yusuf, akhirnya mereka dapat mengenal keperibadian dan budi pekertinya yang baik di samping ketakwaan dan kesolehannya. Oleh itu, ketika dua pemuda tersebut bermimpi, maka mereka pun berkata kepada Nabi Yusuf, "Berikanlah kepada kami takwilnya. Sesungguhnya kami memandangmu termasuk orang yang berbuat baik (berakhlak mulia)".

Karakter pendakwah sejati akan selalu terlihat bila-bilapun dan di manapun. Akidah yang bersih, ibadah yang benar dan budi pekerti yang baik akan sentiasa terpateri dalam diri setiap saat, bahkan ketika berada dalam penjara dan mengalami kesulitan di dalam hidup. Nabi Yusuf membuktikan kenabiannya kepada mereka dengan takwil mimpi. Dia dapat mengetahui makanan apa pun yang akan diberikan sebelum sampai kepada mereka berdua. Hal ini adalah pengetahuan tentang sesuatu yang ghaib. Tidak ada seorangpun yang mengetahui hal-hal yang ghaib selain Allah dan orang-orang diberitahu Allah di antara Para Nabi dan Rasul-Nya. Allah Taala berfirman:

"Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia (Allah) mengadakan penjaga-penjaga (Malaikat) di depan dan di belakangnya." (Surah al-Jinn : ayat 27)


Sifat rendah hati Nabi Yusuf diperhatikan oleh teman-temannya di penjara ketika menyandarkan ilmu yang diketahuinya kepada Pemiliknya yang hakiki, yakni Allah Taala dengan mengatakan:

"(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takwil mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku (Allah). Dengan sebab itu aku meninggalkan pegangan kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat." (Surah Yusuf : ayat 37)

Hal ini adalah salah satu kaedah Nabi Yusuf dalam mengajak mereka untuk beriman kepada Allah dan mengesakanNya. Dia-lah Allah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Maha Mengetahui segala sesuatu yang ada di langit dan bumi. Salah satu bentuk pengaplikasian tauhid di dalam kehidupan sehari-hari adalah prinsip Baginda yang mengingkari perbuatan syirik dan penyembahan terhadap berhala. Nabi Yusuf menyatakannya secara jelas kepada kaumnya dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah Taala dengan menuturkan, "Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, bahkan mereka tidak percaya kepada hari akhirat".

Nabi Yusuf mengikuti kaedah dakwah para pendahulunya daripada kalangan Nabi dan Rasul yang telah diutus kepada kaumnya masing-masing. Baginda Yusuf bukan orang yang melakukan perbuatan bida’ah dalam kenabian dan urusan agama, namun dia adalah pengikut setia agama yang benar. Allah Taala menerangkan perkataan Nabi Yusuf di dalam firman-Nya:

"Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku; Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil daripada limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (Surah Yusuf : ayat 38)


Nabi Yusuf a.s. menyandarkan semua nikmat yang diterimanya kepada Allah semata-mata. Setelah itu, Nabi Yusuf berdialog dengan teman-temannya di penjara mengenai tuhan-tuhan yang selama ini mereka sembah.

"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?" (Surah Yusuf : ayat 39)


Allah adalah Tuhan yang sebenarnya dan apa-apa sahaja yang diseru selain Allah adalah batil. Sebab, tuhan-tuhan yang disembah kaumnya dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri dan mereka pula yang memberikannya nama. Sembahan yang mereka anggap sebagai tuhan itu tidak dapat mendatangkan manfaat dan menolak bahaya untuk dirinya apalagi untuk orang lain.

Nabi Yusuf Berperanan Sebagai Menteri Perbendaharaan


Kisah Nabi Yusuf yang berperanan sebagai menteri perbendaharaan dimulai ketika dia menafsirkan mimpi raja. Pada saat menjalani hukum penjara, Nabi Yusuf harus menafsirkan mimpi orang yang memerintah negara dan memenjarakannya iaitu raja Mesir pada ketika itu. Namun, Nabi Yusuf tetap menyebutkan tafsir mimpi yang benar dan memberi saranan yang baik kepada raja tanpa mengharapkan imbuhan moral mahupun material. Allah Taala berfirman:

"(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia); Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya." (Surah Yusuf : ayat 46)


Pada saat itu tidak seorang pun yang mampu menakwilkan mimpi tersebut dan para sekratariat kerajaan mengatakan, "Itu adalah mimpi-mimpi yang tidak memberikan apa-apa makna". Salah seorang teman sepenjara Nabi Yusuf meminta kepada raja untuk memberitahukan mimpi yang dialaminya itu kepada Yusuf kerana dia pernah menakwilkan mimpi yang alaminya.

Setelah mendengarkan cerita mimpi utusan raja, Yusuf menyusun strategi jitu dalam jangka 15 tahun untuk menyelamatkan negara daripada bencana kelaparan. Seperti ditafsirkan, bahawa akan datang musim kemarau yang berpanjangan, sehingga diperlukan pentadbiran perbendaharaan sumber negara dalam jangka masa yang panjang agar rakyat Mesir mempunyai makanan yang cukup. Allah Taala berfirman:

"Yusuf menjawab; Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa-apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit daripada bahagian yang kamu jadikan untuk makan." (Surah Yusuf : ayat 47)


Rakyat Mesir diarahkan agar menyimpan makanan secukupnya agar dapat membekalkan sedikit untuk masa krisis kemarau berpanjangan. Allah Taala berfirman:

"Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)." (Surah Yusuf : ayat 48)


Pada masa kemarau, rakyat akan bergantung kepada makanan yang disimpan sebelum ini. Jika ada orang yang tidak memiliki persediaan makanan yang cukup maka apa yang harus mereka lakukan dalam situasi yang sulit tersebut? Maka, tidak diragukan lagi bahawa mereka yang kesempitan harus berhutang terhadap orang lain. Seperti yang dikatakan pepatah, "Hutang membuat gelisah di malam hari dan membuat malu diri sendiri di hadapan orang lain pada siang hari."

Setelah masa sempit datanglah masa kejayaan, dan setelah kegelapan terbitlah fajar. Itulah tahun yang ke-15 seperti yang ditakwilkan oleh Nabi Yusuf. Pada masa itu hujan turun membasahi bumi yang membuatnya hijau dan tanaman pun tumbuh di mana-mana, sehingga banyaklah pohon yang berbuah dan dapat dipetik manusia dengan mudah. Allah Taala berfirman:

"Setelah itu akan datang tahun, di mana manusia diberi hujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras (anggur)." (Surah Yusuf : ayat 49)


Demikianlah yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf sehinggalah tiba waktu pengadilannya Baginda dibebaskan daripada penjara setelah dibuktikan siapa sebenarnya yang bersalah. Reputasi Baginda Yusuf melonjak cemerlang bukan sahaja di mata manusia bahkan kepada setiap makhluk di alam ini. Kebenaran yang ada pada Nabi Yusuf ibarat sinar mentari pada siang hari, cahaya bulan di malam hari dan cahaya fajar pada waktu subuh. Isteri penguasa yang memfitnah Nabi Yusuf mengakui kesalahannya. Wanita itu bersaksi bahawa dialah yang melakukan konspirasi terhadap Yusuf.

Nabi Yusuf keluar dari penjara dalam keadaan terhormat menuju istana raja dan diangkat menjadi seorang menteri. Tiada keraguan bahawa seseorang itu tidak disyariatkan untuk meminta-minta jawatan, namun apabila tidak seorangpun yang absah dalam sesebuah jabatan maka dia harus berada di garis hadapan memangkunya. Hal ini kerana, Yusuf adalah Nabi yang menerima wahyu daripada Allah, tindakan bernas bukan daripada akal semata-mata, tetapi juga daripada kebersihan jiwanya meyakini Allah itu Tuhan sejati. Allah Taala berfirman:

"Dia (Yusuf) berkata; Jadikanlah aku bendaharawan negeri (Mesir); karena sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, dan berpengetahuan." (Surah Yusuf : ayat 51)


Kisah Nabi Yusuf a.s. berakhir dengan bahagia, kerana Allah Taala menganugerahkan kedudukan kepadanya di negeri Mesir sebagai orang menjaga amanah kerajaan. Seorang yang diiktiraf amanah oleh Allah, kemudiannya menjaga amanah rakyatnya, dan hal ini tidak akan terjadi di dunia kecuali di atas kehendak Allah Taala.

Inilah petunjuk Allah kepada kita umat Islam tentang akhlak Nabi Yusuf yang sewajibnya dimiliki oleh para pemuda. Hanya kepada Allah kita memohon agar menjadikan kita termasuk antara orang-orang yang beramal dengan ikhlas kerana mengharapkan redha-Nya.

http://www.tarbawi.my

No comments: