30 December 2012

murobbi pencetus kegemilangan....

Mari mengenal bintang ummah...

Syeikh Abdul Qadir :

Beliau lebih dikenali dengan panggilan Paksu Haji Musa dan hanya segelintir sahaja yang tahu nama sebenar beliau iaitu Syeikh Abdul Qadir Jailani Bin Mohd Yusuff. Beliau telah dilahirkan pada 27/12/1946 di Kampung Tebing Tinggi, Kota Bharu Kelantan oleh pasangan suami isteri Mohd Yusuf Bin Mohd Soleh dan Aminah Binti Che Wok.

Beliau memulakan pendidikan peringkat menengah di SMUA Tarbiyah Mardhiah, Pancor selama dua tahun. Selepas itu melanjutkan pangajian ke Pondok Lanai Banggol Berangan, Madrasah Misbahul Falah dibawah asuhan mudirnya serta guru kerohanian beliau yang amat beliau sayangi Tuan Guru as-Syeikh Umar az-Zuhdi Bin Haji Sholeh dan kemudiannya di Pondok al-Bakriah ad-Diniyah, Pasir Tumboh dengan Tuan Guru Haji Hashim bin Hj Abu Bakar.


Beliau juga telah melanjutkan pengajian ke Madrasah Darul Ulum ad-Diniyiah, Mekah dibawah asuhan Musnid Dunya al-Alim al-Allamah as- Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad Isa Al-Fadani, seorang ulama hadis yang terkenal. Selepas itu beliau meneruskan pengajian ke Universiti Islam Umm Darman, Sudan dan akhir sekali mendapat ijazah kuliyah hadis dari Universiti Islam Madinah.

Banyak pengalaman telah beliau perolehi kerana kembara ilmu beliau bermula dari India melalui jalan darat merentasi benua sehinggalah sampai ke Mekah dan Madinah.


Sekembalinya ke tanah air, beliau telah menginfaqkan diri beliau untuk berdakwah dan kuliyah ilmu di segenap ceruk negeri tanpa mengira penat dan lelah serta habuan dunia. Sehingga sekarang beliau masih menyampaikan kuliyah-kuliyah ilmu di Masjid beliau di Kampung Dalam Lanas, Tumpat walaupun keadaan kesihatan beliau yang selalu uzur. Setiap kali turun ke masjid untuk memberi kuliyah, beliau terpaksa dipapah oleh dua orang murid beliau.

Beliau merupakan seorang yang amat warak dan zuhud serta amat menyayangi sesama manusia sama ada yang dikenali ataupun tidak. Beliau sentiasa membahasakan dirinya sebagai ‘ayah’ kepada para murid beliau. Setiap kali menyampaikan kuliyah, tangisan dan air mata tidak dapat dielakkan tatkala tiba pada kalimah-kalimah ayat al-Quran yang membicarakan tentang dosa dan neraka. Pernah juga beliau berhenti mengajar kuliyah kerana ingin diamalkan terlebih dahulu isi kandungan kitab yang ingin disampaikan kepada murid-murid beliau.

Setiap kali bersalaman, pasti beliau akan memeluk seseorang itu sambil membisikkan ketelinga orang tersebut “tolong doakan ayah etek deh.” Tersentuh hati ambo yang jahil ini apabila seorang alim begitu meminta kita yang jahil ini memohon doa kepada ALLAH untuk dirinya.Pok su juga ada berkata kepada ambo bahawa beliau lebih jahil dari ambo dan orang lain,masyaALLAH..begitu merendah diri sedangkan ambo ini sangat jahil dan timbul rasa malu kerana hakikatnya ambo yang terlebih jahil.

Lidahnya tidak pernah sunyi dari zikir dan doa.Jari telunjuknya sentiasa bergerak menandakan hatinya sentiasa mengingati ALLAH. Setiap kali melangkah, pasti ada zikir, doa dan wirid yang disebut beliau. Beliau juga merupakan guru Tareqat Ahmadiyah Idrisiyah ad-Dandarawiyah yang diterima beliau melalui tiga sanad yang berbeza.Alhamdulillah,syukur kepada ALLAH subhanahuwataala ambo berasa amat bertuah sekali kerana sempat beliau yakni pok su musa mendoakan ambo dan meniup doanya diatas kepala ambo yang hina ini disisi ALLAH subhanahuwataala.

Antara kelebihan yang ALLAH subhanahuwataala kurniakan kepada beliau adalah dapat menafsir keadaan jiwa seseorang yang datang untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar beliau sebagaimana yang diceritakan oleh kebanyakan murid beliau.Buktinya beliau dapat menegur kesalahan dan kesilapan ambo tampa ambo memberi tahu kepadanya.SubhanaALLAH.

Nama beliau cukup masyhur meniti dibibir para pencinta ilmu terutamanya pelajar pondok di seluruh negara. Sehinggakan ramai yang datang dari jauh untuk mengenali beliau setelah dicadangkan oleh para guru-guru pondok.

Semoga ALLAH SWT akan terus memberkati usia beliau dengan kebaikan dan ibadah kerana para murid beliau masih terlalu dahagakan ilmu yang berada dalam gedung simpanan beliau itu..

28 December 2012

keagungan bumi mesir...




Oleh : Syeikh Muhammad Al-A'rifi

Khutbah yang terbaik menghuraikan kelebihan negara Mesir oleh pendakwah Islam, Syeikh Muhammad Al-'Arifi sehingga dipuji oleh ulamak Mesir termasuk Dr Umar Abdul Kafi. Khutbah disampaikan di sebuah masjid di negara Saudi. Sesiapa yang faham Bahasa Arab, boleh merujuk sendiri huraian yang terbaik bersandarkan kepada fakta sejarah.

Antara isi kandungan, Syeikh 'Arifi berkata:

"Kiswah (kelambu) Kaabah dijahit dan ditenun di Mesir sejak zaman Saidina Umar Al-Khattab رضي الله عنه sehingga lebih 100 tahun.

-Ingat Mesir merupakan pertahanan untuk Palestin, jihad dan mujahidin kerana Salahuddin Al-Ayyubi menetap di sana untuk membebaskan Baitul Maqdis.

-Allah sebut secara jelas nama 'Mesir' empat kali dalam ayat Al-Quran dan tidak secara jelas dalam 30 ayat yang lain yang ditafsirkan oleh ulamak yang dimaksudkan ialah 'Mesir'.

-Allah tidak sebut nama-nama sungai lain kecuali Sungai Nil iaitu 'al-Yamm'.

-Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Kamu akan membuka Mesir maka berbuat baiklah kepada penduduknya."

-Kalau anda mahukan ilmu Al-Quran dan tajwid, pergilah ke Mesir. Mesir kaya dengan ilmu Al-Quran, carilah sesiapa ulamak yang fasih Al-Quran, pasti berguru dengan guru Al-Quran dari Mesir walaupun sekadar mengikuti mereka sebagai makmum solat.

-Di Mesir, terdapat tempat 'ribat' yang didiami oleh mujahidin untuk pertahankan Islam iaitu di Iskandariah.

-Amru bin Al-'As membina masjid pertama dibina di Benua Afrika yang diletakkan kiblatnya tidak kurang oleh 80 orang para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

-Mesir pernah memimpin dunia Islam selama 265 tahun, iaitu kejatuhan Abbasiyah di Baghdad tahun 656 hijrah sehingga terbina Khilafah Uthmaniyah di Turki tahun 924 hijrah.

-Jumlah para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang menziarahi, menetap, memerintah, diutuskan dan meninggal dunia di Mesir lebih 350 orang.

-Umar bin Abdul 'Aziz رضي الله عنه dilahirkan di Mesir.

-Mesir tidak dapat dipisahkan dengan Al-Azhar, sumber ilmu dunia Islam tertua di dunia.

-Mesir terkenal dengan ulamak, fuqaha' dan solihin. Imam Sa'da bin Laith yang dikebumikan di Mesir, diakui oleh Imam Syafie dengan katanya: "Laith lebih alim daripada Malik". Dua imam besar yang menghasilkan 'Tafsir Jalalain', Imam Jalaluddin Al-Mahalli yang kemudian disempurnakan kitab tafsir beliau oleh Imam As-Suyuti. Imam Daqiq Al-'Eid, imam besar dalam ilmu Hadis, Imam Ibnu Hajar Asqolani, Imam Zakaria Al-Ansori yang berusia lebih 100 tahun dan tidak pernah tinggal qiamullail hingga meninggal dunia, Syeikh Ali As-So'idi Al-'Adawi dari keturunan Saidina Umar Al-Khattab, Saiyidi Ahmad Ad-Dardir yang dikenali sebagai 'Al-Maliki Soghir' selain ramai imam dalam ilmu qiraat seperti Imam Syatibi dan Imam Warsy.

-Juga Mesir tidak terasing dengan wira dan pejuang agama seperti Ibnu Muhammad Sahl yang menegur pemerintah, Khalifah Syiah, Ubaidi yang memerintah Mesir dalam satu tempoh. Ubaidi bertemu Ibnu Muhammad dan bertanya: "Benarkah kamu berkata, "Jika aku memiliki 10 panah, 1 aku akan memanah tentera Salib dan 9 lagi aku akan memanah Ubaidi?"

Jawab Ibnu Muhammad: "Tidak benar, aku tidak berkata demikian, tetapi aku berkata, "Jika aku memiliki 10 anak panah, 9 aku akan panah Ubaidi dan 1 yang terakhir pun untuk memanah Ubaidi kerana kamu mengubah agama Islam, mencerca sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم, menyelewengkan Al-Quran!!"

Lalu Ubaidi marah dan mengarahkan Ibnu Muhammad ditangkap. Beliau kemudian diikat dan diperintahkan seorang Yahudi untuk memotong badan Ibnu Muhammad. Yahudi tersebut mengelar dan memotong daging tubuh Ibnu Muhammad seperti dipotong daging kambing hingga meninggal dunia dalam keadaan beliau membaca Al-Quran.

-Kita tidak bercakap sebuah negara biasa tetapi kita bercakap sebuah tempat yang dimuliakan." Dan banyak lagi..

Semoga ALLAH memelihara Mesir, rakyatnya dan mereka yang berada di dalam buminya.